Menteri Komunikasi Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil beramah mesra dengan penduduk kawasan pada Majlis Rumah Terbuka Baru Cina Parlimen Lembah Pantai di Lorong Ara Kiri 1, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat termasuk syarikat swasta disaran agar membantu ahli-ahli Parlimen merancakkan pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama erat itu perlu dan ia pastinya tidak akan menjadi suatu perkara sukar meskipun peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan.

Bagaimanapun katanya, langkah membantu Ahli Parlimen berkenaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka mendapatkan timbal balas di atas apa yang telah diberikan secara sesuka hati.

“Semalam dah sebut pada waktu ini mungkin ramai di kalangan Ahli-ahli Parlimen kita perlu memaksimakan sumber yang ada termasuk peruntukan Ahli Parlimen.

“Banyak saya lihat sama ada GLC, korporat juga boleh memainkan peranan untuk bantu dari segi CSR untuk sediakan apa-apa keperluan penduduk yang boleh disantuni.

“Sekiranya boleh syarikat-syarikat ambil ikhtiar untuk memahami kawasan sekitar mereka dan apa yang boleh mereka bantu di kawasan lokaliti itu,” katanya yang merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023, kawasan Lembah Pantai, di sini, hari ini.

Fahmi mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu apabila menyatakan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.

Anwar berkata, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat dan mengikut keperluan.

Dalam perkembangan, sama Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, mengambil contoh di kawasannya di Parlimen Lembah Pantai, langkah dalam mendapatkan sokongan daripada pihak swasta mengenai perkara itu tidak menjadi sukar kerana ia sering dilakukan.

“Di Lembah Pantai contohnya…Alhamdulillah Lembah Pantai bernasib baik, terdapat banyak syarikat-syarikat yang prihatin, turun menyantuni, bukan sahaja di musim perayaan tapi, membantu pelajar di kawasan yang perlu diberi fokus.

“Maka, saya percaya ada perkara boleh diikhtiarkan adakan kerjasama yang erat di antara syarikat-syarikat yang mungkin mempunyai keuntungan lebih yang boleh dipertimbangkan bahawa mereka boleh membantu CSR di kawasan-kawasan yang memerlukan ,” ujarnya. – MalaysiaGazette