Ganja yang dimiliki tiga pelajar IPTS di bandar Sunway.

KUALA LUMPUR – Tiga orang pelajar sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di bandar Sunway ditangkap kerana memiliki dadah jenis ganja.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, ketiga-tiga lelaki warganegara tempatan berkenaan ditangkap di asrama masing-masing dalam dua serbuan secara berasingan pada Sabtu lalu.

“Serbuan pertama pada jam lebih kurang 12.15 pagi, pihak polis telah menahan dua lelaki tempatan dan merampas satu bekas plastik berisi sepaket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja (anggaran berat 34.3 gram).

“Dalam serbuan kedua yang dilakukan pada jam lebih kurang 12.30 pagi pula telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas satu bekas plastik berpenutup warna hijau yang mengandungi tiga ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja (anggaran berat 868.7 gram),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua pelajar tersebut positif dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol. dan tidak memiliki sebarang rekod lampau.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama.

Dalam masa yang sama, dua suspek yang diberkas dalam serbuan pertama direman sehingga hari ini, manakala seorang lagi direman sehingga Jumaat.

Mengakui berlaku peningkatan tangkapan kes dadah dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi, Wan Azlan menasihatkan supaya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak.

“Pantau aktiviti anak-anak mereka terutamanya selepas waktu pembelajaran supaya golongan ini tidak terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah yang boleh merosakkan masa hadapan mereka dan juga merugikan negara,” tambahnya.- MalaysiaGazette