KUALA LUMPUR – Selepas 25 tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka ‘kembali’ ke Ibu Pejabat UMNO di sini malam ini.
Kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden PKR itu bagi mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang pertama di Menara Dato Onn.
Jurucakap sekretariat yang dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, menurut laporan Berita Harian.
Mesyuarat itu juga akan dihadiri pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut dijangka hadir, pemimpin utama parti Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta WARISAN.
Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Ahmad Zahid memaklumkan mengenai penubuhan sekretariat itu yang ditubuhkan bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan pejabat urusannya bertempat di Menara Dato’ Onn.
Timbalan Perdana Menteri itu juga memaklumkan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengetuai sekretariat berkenaan.
Sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan.
Anwar dipecat dari UMNO pada 3 September 1998 dan sejak itu tidak lagi mengunjungi Menara Dato’ Onn kerana telah menubuhkan PKR. – MalaysiaGazette