KUALA LUMPUR – Selepas 25 tahun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘kembali’ ke Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di sini malam ini.
Beliau tiba di bangunan berkenaan lebih kurang pukul 7.41 malam diiringi Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.
Kehadiran Perdana Menteri itu pertama kali selepas dipecat daripada UMNO pada pada 3 September 1998.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berada di bangunan tersebut bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Mesyuarat itu turut melibatkan pemimpin utama parti kerajaan termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut dijangka hadir, pemimpin utama parti PH, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Warisan.
Turut kelihatan sebentar tadi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sebagai rekod, Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini mengumumkan penubuhan sekreteriat tersebut yang berfungsi untuk menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang sudah disepakati.
Dalam masa yang sama, sekreteriat berkenaan yang diketuai Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu akan membincangka perjalanan Kerajaan Perpaduan termasuk dalam soal kerjasama politik dari semasa ke semasa.- MalaysiaGazette