Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping hadir pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-41 perbicaraan penyelewengan RM2.2 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Joanna Yu Ging Ping hari ini menyambung pemeriksaan soal balas membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Ketika pemeriksaan balas peguam utama pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Joanna mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sentiasa memberi gambaran dirinya mengenali bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bagaimanapun Joanna mengakui Jho Low tidak pernah mendedahkan apa-apa tentang Zeti kepadanya.

Malah dia ada mendengar ‘dakwaan’ andainya Jho Low berada dalam negara, dirinya sering keluar dengan Zeti.

Shafee: Benarkah dakwaan kononnya jika Jho Low ada dalam negara selalu lepak di dapur Zeti’?

Joanna: Saya tidak pasti

Shafee: Jho Low pernah dikatakan semua transaksi agak senang dengan BNM kerana hubungannya dengan Zeti?

Joanna: Jho Low tidak pernah beritahu apa-apa tetapi selalu beri gambaran dia dapat berhubung dengan Gabenor.

Dalam pada itu, Joanna mendakwa dirinya tidak pernah terfikir seseorang akan menggunakan akaun bank peribadi Najib yang ketika itu menjadi perdana menteri untuk melakukan pengubahan wang haram malah akaun itu diketahui BNM dan pihak atasan bank.

Joanna merujuk kepada tindakan Jho Low yang melakukan transaksi berdasarkan arahan Najib.

Prosiding bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah esok.

Ketika ini, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1MDB berjumlah RM2.3 bilion. -MalaysiaGazette