Barisan peguam Tetuan Gunamalar Law Chambers mewakili Loh dalam kes penceraian antara Loh Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran Muniandy, yang memeluk Islam bersama tiga anak mereka.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mencelah dan mengubah perintah hak penjagaan tiga kanak-kanak yang memeluk Islam dengan kebenaran sepihak sebelum ini.

Tiga panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Has Zanah Mehat sebulat suara bersetuju kes untuk mencelah boleh melalui Aturan 15 Keaedah 6(2) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, yang dibaca bersama Seksyen 96 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976.

Kata beliau, dua peruntukan itu apabila dibaca bersama memberikan hak kepada pemohon di sisi undang-undang untuk mencelah.

“Kami dengan ini membenarkan rayuan itu dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi,” kata Has Zanah bersama See Mee Chun dan Datuk Nazlan Ghazali sebentar tadi.

MAIPs sebelum ini telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencelah dalam petisyen penceraian antara Loh Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran Muniandy, yang memeluk Islam bersama tiga anak mereka.

Badan agama itu mendakwa, mereka mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal yang dimiliki Loh.

Dalam petisyen penceraian itu, Loh, 34, diberi hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas tiga anak mereka iaitu kembar perempuan berusia 14 dan seorang lelaki berusia 10 tahun.

Pada 21 Februari lepas, tiga beradik yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta-merta kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Dalam notis usul yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari lalu, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan dikembalikan kepadanya. -MalaysiaGazette