Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2023 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Februari 2023 mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya diadakan dalam dewan tertutup.

Ia meninggalkan tradisi majlis perhimpunan itu yang kebiasaannya diadakan kawasan lapang di Dataran Perdana, Perdana Putra sebelum ini selepas pembukaan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baharu kerajaan yang menggantikan Kuala Lumpur pada 1999.

Majlis perhimpunan yang berlangsung pagi ini jelas memberi keselesaan kepada kakitangan awam yang hadir kerana diadakan di dalam Dewan Seri Endon, Puspanitapuri yang berhawa dingin.

Pada majlis perhimpunan bulan lalu, Anwar meluahkan rasa bersalah dan simpati apabila melihat kakitangan awam yang berdiri di bawah terik matahari ketika beliau menyampaikan ucapannya.

Ketika itu, beliau telah bertanya kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sama ada perhimpunan itu mesti diadakan di kawasan terbuka di bawah sinar matahari kerana Anwar tidak selesa berucap terlalu lama akibat cuaca yang semakin panas.

“Tahniah kepada Tan Sri KSN. Beliau mengambil sedikit masa untuk memikirkan (dewan). Mesyuarat diadakan dua kali untuk menentukan di mana perjumpaan kini boleh berlangsung,” katanya.

Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2023 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2023.

Sementara itu, Anwar menyeru kakitangan awam diseru bekerja dalam satu pasukan dalam usaha membantu rakyat selain kembali menaikkan semula martabat negara.

Beliau berkata, golongan itu juga perlu memiliki komitmen tinggi yang menyeluruh dan jangan mudah terpukau slogan-slogan yang dilaungkan sebelum ini.

Ujar beliau, sikap keinginan untuk mengorak langkah ke hadapan turut wajar diamalkan dalam usaha mengurang dan mengatasi kelemahan yang masih ada ketika ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah dua timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar. – MalaysiaGazette