Sebahagian daripada gelandangan mula penuh untuk mendapatkan pakaian percuma anjuran PAS sempena Program Semarak Kasih ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 APRIL 2022.

MALAYSIA Madani yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari 2023 dilihat sebagai satu kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur dan dihormati. Berteraskan enam tonggak utama: M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (Daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (Ihsan). Malaysia Madani merupakan satu perancangan kerajaan untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak. Justeru itu pencapaian Malaysia Madani memerlukan komitmen menyeluruh dalam kalangan pelbagai pemegang taruh. Pembasmian kemiskinan merupakan salah satu daripada tiga keutamaan strategik dalam kerangka Malaysia Madani. Strategi ini menjadi penting disebabkan setelah lebih 60 tahun kemerdekaan jumlah golongan miskin tegar negara masih lagi tinggi iaitu sebanyak 136,000 manakala 308, 000 lagi isi rumah dalam kategori miskin.

Kenapa pentingnya strategi pembasmian kemiskinan?

Dari perspektif teori “Bottom of Pyramid (BOP) (Prahalad & Hart, 2002) majoriti penduduk dunia (anggaran empat billion) tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan mempunyai pendapatan per kapita tahunan kurang atau sama dengan USD2000 atau ke bawah, atau di bawah kuasa beli tempatan sebanyak USD3,000 setahun. Untuk mengatasi masalah ini teori ini menyarankan penglibatan yang aktif dalam bidang perniagaan seterusnya mampu memberi peluang pekerjaan kepada negara.

Dalam konteks negara Malaysia peningkatan kos sara menyebabkan ramai rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan BOP ini. Hal ini menjadi bertambah rumit akibat daripada pandemik Covid-19 yang menyebabkan negara masih bergelut dengan masalah pengangguran dan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana mengalami masalah kewangan yang teruk. Golongan B40 kini dilihat semakin membesar apabila golongan M40 berkemungkinan akan mengecil dan malah jatuh ke dalam kemiskinan bandar. Walaupun ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5% pada suku pertama tahun 2022, dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 14.2% pada suku ketiga 2022 berbanding 8.9% pada suku kedua dan 5% pada suku pertama, ianya tidak mengambarkan penurunan kepada angka kemiskinan negara.

Ini disebabkan KDNK menggambarkan produktiviti dan kecekapan sesebuah negara dalam menjana pendapatan keseluruhan dan tidak menggambarkan gaji purata yang diperolehi oleh rakyat sesebuah negara. Malah pendapatan perkapita rakyat Malaysia (USD 11,109.3) didapati jauh lebih rendah dari Singapura (USD 72,794.0) (World Bank, 2023). Justeru itu transformasi model ekonomi negara perlu dilakukan bagi memastikan kelangsungan ekonomi dan hidup rakyat berjalan seiring sebagaimana yang dinyatakan dalam strategi Malaysia Madani.

Bagaimana Model Perniagaan Inklusif dapat membantu pencapaian Malaysia Madani?
Model perniagaan inklusif adalah strategi yang mana negara atau organisasi menyediakan peluang mata pencarian secara komersil melalui aktiviti perniagaan bersama sektor korporat (FAO, 2015)). Model ini memfokuskan penglibatan sektor korporat melangkaui tanggungjawab sosial korporat (CSR). Model ini dipacu oleh syarikat besar dengan memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana(PKS) dan komuniti melalui libat sama dalam rantaian bekalan sebagai pembekal, pemborong, rakan dagang atau sebagai pelanggan. Model perniagaan inklusif ini mampu memberi impak yang menyeluruh kepada pembangunan perniagaan dan pembangunan sosial-ekonomi sesebuah negara.

Model ini juga telahpun berjaya dilaksanakan di beberapa negara membangun. Sebagai contoh di Ethopia pada tahun 1999 Coca-Cola mewujudkan Pusat Pengedaran Mikro sebagai inisiatif membantu usahawan setempat menjana pendapatan sebagai pengedar produk, selain menyelesaikan masalah menembusi pasaran mencabar berikutan capaian logistik seperti jalan tidak begitu baik. Di Thailand Urmatt Group melibatkan lebih 3,000 petani pekebun kecil yang mengeluarkan beras organik, chia dan produk kelapa. Manakala Kennemer Foods International (KFI) Filipina pula melengkapi 10,000 petani koko dengan bahan-bahan penanaman berkualiti tinggi, latihan serta teknologi pertanian. Di Kenya, kerjasama strategik Vodafone dan syarikat tempatan, Safaricom mewujudkan perkhidmatan pemindahan wang berasaskan telefon bimbit, M-Pesa.

Bagi memastikan Model Perniagaan Inklusif ini berjaya dilaksanakan kerajaan memainkan peranan penting bagi menggalakkan syarikat besar menginovasikan rantaian nilai kepada lebih inklusif, mesra PKS dan bersifat lokal dengan menawarkan insentif, sokongan intervensi dan keistimewaan. Justeru itu ekosistem perniagaan yang lebih dinamik dan komprehensif perlu dibangunkan dengan mengambilkira enam aspek berikut:

1. Mewujudkan tadbir urus yang jelas
Satu struktur organisasi yang formal di bawah seliaan Kementerian Ekonomi perlu dibentuk dengan jelas. Organisasi ini perlu dianggotai oleh pelbagai pihak berkepentingan seperti wakil dari agensi kerajaan yang berkaitan, wakil dari sektor korporat, wakil PKS dan Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO). Penglibatan semua pihak dari awal pelaksanaan model amat penting bagi memastikan ianya dapat difahami dan diselaraskan untuk dijadikan satu kerangka ekonomi negara yang baharu.

2. Pembangunan Dasar Baharu
Dasar, polisi, peraturan dan prosidur kerja baru berkaitan Model Perniagaan Inklusif ini perlu dibangunkan dengan mengambilkira aspek pembangunan ekonomi dan sosial. Dasar yang dibangunkan perlu diterjemahkan dengan jelas dan difahami dan memberi manfaat kepada semua pihak dan bersifat “win-win”.

3. Penglibatan sektor korporat
Kejayaan Model Perniagaan Inklusif ini tidak akan berlaku tanpa penglibatan yang serius dari sektor korporat. Sektor korporat perlu diberi maklumat dan insentif yang bersesuaian supaya mereka tidak lagi hanya bersandarkan pencapaian keuntungan kewangan semata-mata. Mereka juga perlu menitikberatkan impak sosial dalam perniagaan yang dijalankan. Bagi menggalakkan pembabitan syarikat besar dan konglomerat, kerjasama rentas kementerian diperlukan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih komprehensif. Jika sebahagian dari 987 syarikat utama yang tersenarai di Bursa Malaysia terlibat dalam Model Perniagaan Inklusif ini, sudah pasti model ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

4. Pembangunan Sumber manusia
Sumber manusia atau lebih spesifik tenaga kerja mahir merupakan tunggak kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Bagi memastikan model ini berjaya sektor korporat dan PKS yang akan terlibat perlu memastikan ketersediaan sumber manusia yang diperlukan. PKS terutamanya yang sering bergelut dengan isu pengurusan sumber manusia seperti gaji yang setimpal, kebajikan, pembangunan kerjaya, perlu membuat transformasi pengurusan perniagaan bagi memastikan mereka mampu melantik dan mengekalkan tenaga mahir tempatan.

5. Khidmat sokongan
Sokongan dalam bentuk sumber kewangan dan bukan kewangan juga perlu disediakan. Dana dan pinjaman perniagaan kepada PKS perlu disediakan dengan mengurangkan karenah birokrasi dan bersifat telus. Selain dari ini kemudahan prasarana, khidmat latihan dan bimbingan kepada PKS juga perlu diberikan secara berterusan terutama bagi memastikan PKS yang akan terlibat bersedia dan sanggup merubah strategi dan pengurusan perniagaan masing-masing mengikut perubahan ekonomi dan teknologi semasa.

6. Rangkaian
Pelbagai pihak berkepentingan terutama agensi kerajaan, sektor korporat dan PKS perlu mempunyai rangkaian perniagaan yang berstruktur dann jelas bagi membolehkan segala maklumat seperti kontrak perniagaan, dana dan pinjaman serta tenaga kerja dapat dikongsi bersama.

Secara keseleuruhannya enam tonggak Malaysia Madani yang dibentuk mampu memeta hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa yang maju dan sejahtera. Kejayaan Malaysia Madani walau bagaimanapun tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan semata. Penglibatan yang menyeluruh daripada pelbagai pihak khususnya sektor korporat dan PKS amat penting untuk memastikan Malaysia Madani ini berjaya mencapai matlamat yang
ditetapkan.

Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff
Jabatan Pengurusan Perniagaan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)