Lim kit siang dipunggah Anwar antirasuah Kerajaan Perpaduan reformasi Parlimen calon pembangkang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, reformasi Parlimen yang menyeluruh perlu dijadikan ciri utama sidang Parlimen selama tujuh minggu bermula Isnin depan.

Menurut beliau, reformasi Parlimen juga seharusnya merangkumi tindakan ahli Parlimen yang membuat pertuduhan yang bersifat rasis atau menyentuh sensitiviti keagamaan.

“Sebagai contoh, ahli Parlimen yang menuduh sesiapa sebagai mempromosikan Islamofobia patut dihukum sekiranya mereka gagal untuk membuktikan tuduhan mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Walaupun Kit Siang tidak menyebut nama ahli Parlimen terbabit, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam satu kenyataan 28 November lalu, Abdul Hadi berkata, “Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka.”

Beliau turut mengecam tindakan pemimpin-pemimpin DAP melabelkan Pas sebagai Taliban bagi memburuk-burukkan imej partinya terutamanya dalam kalangan bukan Islam.

Pada 7 Disember lalu, Kit Siang meminta Abdul Hadi mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhannya bahawa DAP mengamalkan Islamofobia atau menarik balik dakwaan tersebut jika gagal membuktikannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang menyokong cadangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul agar mana-mana ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan bersifat rasis, seksis atau menghina dihukum denda RM1,000 atau digantung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast