Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing terus melupuskan ekuiti Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut dengan jualan bersih RM380.8 juta iaitu 89.6% lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.

Minggu lalu adalah minggu dagangan pendek iaitu selama empat hari berikutan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada hari Rabu.

MIDF Research berkata, pelabur asing membeli sebanyak RM35.6 juta ekuiti pada hari Khamis, tetapi menjual sebanyak RM48.6 juta pada hari Isnin, RM98.9 juta (Selasa) dan RM68.1 juta (Jumaat).

Firma penyelidikan ini tidak menolak senario itu susulan terdapat tanda-tanda ketidaktentuan politik berikutan pemecatan dan penggantungan ahli kanan UMNO yang berpengaruh, kerana parti itu adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Pelantikan anak perempuan Perdana Menteri sebagai Penasihat Ekonomi juga mencetuskan perdebatan pelbagai pihak, yang telah mendakwa nepotisme dan kronisme, sekali gus akan menjejaskan kedudukan indeks persepsi rasuah negara.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lepas iaitu produk & perkhidmatan Pengguna sebnayak RM58.7 juta, teknologi pada RM23.7 juta serta telekomunikasi & media pada RM15.7 juta.

Tiga sektor terbawah dengan aliran keluar bersih ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM174.0 juta, penjagaan kesihatan RM43.3 juta dan perladangan RM35.9 juta.

Setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih sebanyak RM89.1 juta ekuiti tempatan.

Manakala pelabur institusi mengekalkan minat belian di Bursa Malaysia sebanyak RM130.6 juta minggu lepas, merupakan minggu keempat berturut-turut pembelian bersih.

Ia melakukan belian sebanyak RM9.6 juta pada hari Isnin, Selasa (RM59.3 juta), Khamis (RM0.5 juta) dan Jumaat (RM61.2 juta).

Setakat ini, institusi tempatan telah membeli bersih RM816.0 juta.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur runcit bertukar menjadi pembeli bersih pada minggu lepas, membalikkan arah aliran jualan bersih tiga minggu berturut-turut.

Mereka membeli RM49.4 juta setakat Jumaat lepas.

Mereka hanya menjual RM36.0 juta pada Khamis tetapi menjadi pembeli bersih RM38.9 juta pada hari Isnin, RM39.6 juta (Selasa) dan RM6.9 juta (Jumaat).

Menurut MIDF Research, dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan sebanyak 64.7%, 19.6% dan 7.8% daripada pelabur asing, institusi tempatan dan pelabur runcit. – MalaysiaGazette