Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penjawat awam disyaki terlibat dengan penyalahgunaan jawatan dan kedudukannya demi mendapatkan kerja-kerja pengangkutan bernilai RM130,000.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penjawat awam disyaki terlibat dengan penyalahgunaan jawatan dan kedudukannya demi mendapatkan kerja-kerja pengangkutan bernilai RM130,000.

Lelaki berkenaan didakwa menggunakan syarikat milik isterinya pada tahun 2019 demi mendapatkan kerja-kerja berkenaan.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 50-an tersebut direman empat hari bermula hari ini.

“Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Zaiton Anuar di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi,” kata sumber SPRM.

Terdahulu, lelaki berkenaan ditahan pukul 6.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette