Ebit Lew.

KUALA LUMPUR – Prosiding kes gangguan seksual yang sedang dihadapi oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew bersambung Mahkamah Majistret Tenom, Sabah hari ini.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim yang tampil tenang hadir dengan pakaian serba hitam bersama barisan peguam serta penyokongnya.

Ketika ini, Ebit sedang berdepan dengan kes gangguan seksual terhadap seorang wanita yang didakwa dilakukan olehnya antara Mac hingga Jun 2021.

Ebit didakwa bagi 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Jika sabit pertuduhan, Ebit yang didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan berdepan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Kes itu dibawa ke mahkamah susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, seorang wanita berusia 42 tahun pada 7 Ogos 2021.

Ebit Lew sebelum ini dikenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan selepas mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan yang dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes menarik tumpuan ramai itu bermula 27 September lalu dan setakat ini sudah menampilkan tiga saksi. – MalaysiaGaze