Wanita UMNO Titiwangsa kanak-kanak
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia digesa bersolidariti demi memberikan sokongan terhadap mangsa yang terjejas akibat gempa bumi yang dahsyat di Turki dan Syria.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, keberanian sukarelawan dan penyelamat yang sanggup menggadaikan nyawa demi usaha membantu mangsa patut dikagumi dan dihargai.

“Saya menggesa agar kita semua di Malaysia dan di seluruh dunia untuk bersama-sama bersolidariti dan memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas oleh bencana ini. Saya turut kagum dan berterima kasih di atas keberanian dan ketabahan sukarelawan dan penyelamat yang mempertaruhkan keselamatan diri dalam membantu magsa yang memerlukan. Ikhtiar dan kesungguhan mereka benar-benar memberi inspirasi dan memberi teladan kemanusiaan yang terbaik dalam mendepani malapetaka.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan mereka yang terjejas oleh tragedi ini, dan melakukan apa yang kita mampu untuk menyokong mereka pada saat ini dengan semangat persaudaraan dan kemanusiaan yang sejati,” katanya menerusi kenyataan.

Menzahirkan rasa simpati kepada keluarga dan masyarakat yang terjejas di rantau itu, beliau menyifatkan tragedi yang baru berlaku itu mmemberi kesan yang besar kepada mangsa.

“Ini adalah tragedi yang telah mengorbankan banyak nyawa dan mengakibatkan penderitaan yang tidak terhingga,” ujarnya.

Dalam masa sama, Noraini yakin dengan kemampuan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Malaysia (SMART) untuk melakukan yang terbaik udalam usaha mencari dan menyelamat (SAR).

“Pasukan SMART akan berada di lapangan untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa tragedi ini, dan saya yakin bahawa mereka akan melakukan yang terbaik untuk membantu dalam usaha pemulihan di rantau ini,” tambah beliau.

Gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 yang menggegarkan selatan Turkiye semalam telah mengorbankan ribuan orang.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berlaku jam 4.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran menyebabkan puluhan bangunan musnah itu turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.-MalaysiaGazette