Pekerja buruh melakukan kerja-kerja pembinaan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Jumlah kadar yuran atau fi bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 sebanyak RM1,500 disifatkan sebagai terlalu tinggi untuk sebahagian besar perniagaan dan pengendalinya, khususnya bagi industri yang menggunakan khidmat ratusan pekerja dalam satu-satu projek.

Malah, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berkata, jumlah tersebut akan hanya menambahkan lagi beban jumlah besar yang perlu ditanggung serta berkemungkinan tidak berdaya maju dari segi kewangan.

Dalam kenyataan hari ini, Presidennya Datuk NK Tong berkata, yuran berkenaan perlu kekal serendah mungkin bagi menggalakkan lagi penyertaan perniagaan dalam program itu dan sebarang bayaran tinggi akan menjadi penghalang atau memberi impak sebaliknya.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya membantu industri dan ekonomi negara untuk pulih bagi memastikan syarikat dapat menawarkan lebih banyak pekerjaan dan meraih untung serta berupaya membayar cukai.

“Program itu tidak harus dijadikan sebagai antara sumber pendapatan kerajaan. Memandangkan semua kos sedia ada terus meningkat, maka kerajaan sepatutnya dapat membantu (industri),” katanya yang memuji langkah pemansuhan yuran dokumen bagi pinjaman perumahan baru-baru sebagai contoh baik dalam mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Tong berkata tindakan mengenakan yuran lebih rendah itu akan membolehkan penjimatan tersebut disalurkan kepada bakal pembeli dari segi harga rumah lebih rendah walaupun pemaju cuba mengekalkan harga dalam senario inflasi yang berterusan meningkat.

Selain itu, REHDA menggalakkan kalangan majikan dalam semua industri yang mempunyai pekerja asing tanpa izin untuk turut mengambil bahagian dalam program rekalibrasi tersebut bagi memastikan pekerja dilindungi dan perniagaan berjalan semula tanpa masalah.

“Kami berharap ahli-ahli dapat mematuhi undang-undang ini kerana sebarang keengganan akan menjejaskan projek sedia ada dan yang dirancang,” katanya.

Pada 27 Januari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian itu tidak berhasrat untuk menyemak semula kadar bayaran yuran RTK yang kekal pada RM1,500.

Majikan boleh mula memohon bagi pengambilan pekerja asing di bawah RTK 2.0 itu pada 27 Jan hingga 31 Dis 2023.

Lapan sektor yang dibenarkan menyertainya adalah perkilangan, pembinaan, perlombongan dan kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan serta pembantu rumah warga asing. – BERNAMA