Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dijalankan di kawasan gempa bumi. foto Anadolu Agency

ANKARA – Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat Isnin lalu di selatan Turkiye meningkat kepada 5,894, kata Naib Presiden Turki, Fuat Oktay.

Manakala mereka yang cedera di wilayah Kahramanmaras ialah 34,810.

“Kehilangan setiap rakyat amat menyedihkan kami,” kata Oktay kepada pemberita, sambil menambah pihak berkuasa meneruskan usaha menyelamat mereka.

Sebanyak 5,775 bangunan runtuh, katanya.

Lebih 8,000 orang telah diselamatkan daripada runtuhan bangunan.

Terdahulu pada hari Selasa, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, “fakta bahawa lebih 8,000 rakyat kami telah diselamatkan daripada serpihan adalah kelegaan terbesar kami,” katanya ketika bercakap di Pusat Penyelarasan Maklumat Negeri di ibu negara Ankara.

Negara itu telah mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah agar operasi mencari dan menyelamat serta usaha lain dapat dijalankan dengan pantas.

“Kami menghadapi salah satu bencana terbesar bukan sahaja dalam sejarah republik ini tetapi juga geografi kami dan dunia,” kata Presiden Turki itu.

Awal pagi Isnin lalu, gempa bumi 7.8 magnitud melanda Kahramanmaras, diikuti dengan gempa 7.6 magnitud kira-kira sembilan jam kemudian, yang menggegarkan wilayah itu, menjejaskan beberapa wilayah lain termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Gempa bumi turut dirasai di beberapa negara di rantau ini termasuk Lubnan dan Syria.

Sebanyak 60,218 pegawai kecemasan bekerja di kawasan itu, termasuk 3,200 kakitangan dari 65 negara, kata Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye dalam satu kenyataan awal.

Turkiye sedang memerhatikan tempoh tujuh hari berkabung nasional selepas kejadian gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu.

Semua acara sukan kebangsaan di Turkiye telah digantung sehingga diberitahu kelak, dan semua sekolah juga ditutup sehingga 13 Februari dan sekolah di 10 wilayah yang terjejas sehingga 20 Februari. – Agensi