Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 08 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beberapa tindakan dan cadangan yang terkandung di dalam Belanjawan 2023 akan dilaksanakan secara radikal.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan banyak perkara Malaysia dilihat ketinggalan dan hampir setiap hari membincangkan perkara itu bersama pasukan yang terlibat dalam membuat belanjawan tersebut.

Ia melibatkan soal daya saing, kecepatan, kepesatan kelulusan perniagaan, inisiatif baharu seperti digitalisasi serta beberapa tindakan untuk memastikan keluaran sumber asli melalui proses hiliran.

“Itu semua kita ketinggalan dari Indonesia, Vietnam. Hal ini mesti kita depani untuk memastikan kita mampu dan berdaya saing.

“Saya harap dapat kerjasama penuh daripada saudara saudari untuk jayakan agenda Madani,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dengan warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan, tidak ada yang terselindung di dalam belanjawan yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.

Ujarnya, belanjawan berkenaan juga akan mengambil beberapa langkah berani dalam usaha mendepani masalah yang dihadapi.

“Sebab itu saya beritahu pada team (pasukan), terangkan keadaan dan jangan selindung dan beri kenyataan yang tidak samar.

“Kalau ada masalah hutang sekian, beritahu sekian. Masalah kita harus hadapi bersama keperitan ini. Jelaskan kemudian, kita beritahu beberapa tindakan yang mahu dicadangkan atau diusulkan, mesti juga radikal,” tegasnya. – MalaysiaGazette