KUALA LUMPUR – Perodua berkata, syarikat itu telah menukar hampir semua tempahan terdahulu model Axia semasa kepada model yang baharu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat itu akan melancarkan Perodua Axia Serba Baharu tidak lama lagi untuk terus mengujakan pasaran.
“Penasihat jualan kami telah menghubungi para pelanggan untuk memaklumkan mengenai pertukaran Perodua Axia Serba Baharu dan kebanyakan mereka
bersetuju untuk menukar kepada model baharu tersebut.
“Kami percaya cadangan nilai kami akan diterima baik oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, tambahnya, pengeluaran dan jualan Perodua bagi bulan Januari 2023 melonjak 43.5% kepada 21,449 unit yang didaftarkan berbanding 17,444 unit pada bulan pertama 2022 disebabkan oleh syarikat kereta kompak itu meneruskan tumpuannya kepada pengeluaran dan penghantaran maksimum.
Dari segi pengeluaran, Perodua menghasilkan 24,590 unit pada Januari tahun ini, naik sebanyak 40.2% daripada 17,538 unit yang dikeluarkan pada Januari
2022.
Menurut Zainal, banjir yang berlaku pada Januari tahun lepas (2022) menyebabkan kekurangan bekalan cip semikonduktor, isu tenaga kerja dan kekurangan alat ganti lain, sekali gus menghalang pengeluaran dan jualan.
”Namun demikian, peningkatan dalam volume bagi kedua-dua pengeluaran dan jualan telah menunjukkan bahawa ekosistem sedang berjalan seperti yang dirancang,” ujarnya.
Beliau berkata, Perodua kekal komited kepada matlamat penghantaran kenderaan kepada para pelanggannya secepat mungkin tanpa menjejaskan kualiti atau keselamatan.
Perodua mensasarkan untuk mendaftar 314,000 unit dan mengeluarkan 330,000 unit untuk keseluruhan tahun ini. – MalaysiaGazette