Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 08 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican akan mengumumkan langkah pertama yang akan diambil susulan pelantikannya sebagai Ketua Badan Penasihat Khas kepada Menteri Kewangan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media, hari ini.

“Yang itu dia akan umum…saya dah minta dia umum.

“Ya, ya saya dan bincang semalam,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di sini.

Beliau ditanya wartawan mengenai langkah pertama yang akan dilakukan oleh Hassan sejurus dilantik ke jawatan tersebut.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan pelantikan Hassan dan beberapa individu lain di dalam Kementerian Kewangan.

Katanya, kumpulan penasihat yang terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi bertanggungjawab bagi membantu menasihatinya selaku Menteri Kewangan.

Empat lagi anggota badan penasihat khas itu ialah Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng, Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Datuk Prof Ulung, Dr Rajah Rasiah dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Anwar turut mengulangi pendiriannya bahawa anggota badan penasihat khas itu tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan. – MalaysiaGazette