Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Waktu sepak mula baharu pada sebelah petang tidak akan menjejaskan kemampuan dan kecergasan para pemain untuk menampilkan aksi konsisten 90 minit perlawanan.

Ia seiring dengan persediaan rapi semua kelab menghadapi perubahan kalendar Liga Malaysia musim ini.

Itu yang dijelaskan oleh Ketua Unit Prestasi Tinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Reuben Jude Balraj yang menyifatkan aspek pemakanan selain kekal hidrat memainkan peranan penting untuk memastikan tahap kecergasan pemain padai tahap memuaskan.

Reuben yang juga pernah bersama-sama skuad kendalian Brad Maloney di Sukan Sea Hanoi merasakan sudah tiba masa untuk semua pasukan menghadapi perubahan yang dilihat lebih proaktif untuk menyesuaikan diri dengan waktu sepak mula baharu selain percaya barisan pemain pada era kini lebih berpengetahuan untuk kekal menjaga kecergasan diri.

“Saya rasa tiada masalah sama ada bermain petang atau malam sekali pun, cuma daripada segi hidrat itu penting kerana mungkin cuaca di waktu petang seperti 5.30 petang agak panas.

“Jadi, kena jaga aspek pemakanan dan juga kena tahu untuk kekal hidrat, tetapi dari segi fizikal saya rasa mereka semua tiada masalah sekiranya persediaan rapi dibuat terutamanya pada pra-musim ini.

“Pemain-pemain ini pun kena tahu untuk sentiasa bersedia beraksi dalam apa jua keadaan sebab kita sebelum ini pun pernah bermain dalam keadaan bersalji, jadi persiapan itu sangat penting.

“Sekarang pun saya rasa kita dah bergerak ke hadapan, bahkan pemain dan jurulatih juga lebih berpengetahuan di mana kita sudah bersedia untuk lebih terbuka menghadapi perubahan untuk buat lebih baik,” jelasnya.

Selain itu, Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim pula menganggap fizikal para pemain tidak akan berdepan masalah ketara untuk menghadapi perlawanan kompetitif pada sebelah petang memandangkan rata-rata pasukan juga menjalani latihan di waktu yang sama.

Beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melihat perubahan yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) ini tepat selain turut mengembalikan kejohanan MFL Challenge Cup yang akan memberi peluang lebih besar kepada pemain untuk sentiasa mendapatkan minit permainan.

“Saya fikir tidak ada perbezaan pun pada waktu petang atau malam sebab sudah menjadi kebiasaan apabila mereka juga berlatih pada waktu petang.

“Jadi, saya percaya pemain boleh menyesuaikan tubuh badan mereka untuk hadapi perlawanan kompetitif di sebelah petang dan tidak hanya bermain pada waktu malam.

“Bahkan, kecergasan pemain-pemain ini juga akan lebih baik apabila jadual yang diatur ini membuka lebih ruang kepada pemain-pemain untuk tetap beraksi mencari minit permainan dan kenikmatan penyokong bola sepak itu juga tidak akan berhenti jika pasukan pilihan mereka tidak layak ke peringkat seterusnya untuk tetap beraksi dalam pemburuan trofi lain,” jelasnya.

Terdahulu, MFL mengumumkan waktu sepak mula baharu perlawanan Liga Malaysia 2023 iaitu lebih awal pada pada 5.15 petang atau 5.30 petang di Semenanjung manakala 4.30 petang atau 4.45 petang di Sabah dan Sarawak.

Akan ada juga perlawanan yang berlangsung pada waktu malam seperti musim lalu iaitu pada jam 8.15 malam atau 9 malam di Semenanjung manakala 7.30 malam atau 8.15 malam di Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, perlawanan pada sebelah petang ini hanya akan diadakan pada hujung minggu sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast