Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas menpengerusikan Mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 08 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Malaysia menghulurkan bantuan sebanyak RM4.26 juta sebagai bantuan sokongan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat di Turkiye dan Syria.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah bantuan yang sama turut disumbangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Pada masa sama, beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM10 juta.

“Jumlah semua bantuan ini tidak termasuk bantuan daripada rakyat Malaysia yang bersimpati dengan mangsa gempa bumi di dua negara ini.

“Bantuan kepada Turkiye akan disalurkan secara terus kepada kerajaan mereka manakala Syria pula disalurkan kepada Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) di negara itu akibat kos penerbangan yang tinggi dan kekangan prosedur ke sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di di sini hari ini yang turut dihadiri dua timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kelmarin, ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan di Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan).

Gempa bumi terburuk dalam tempoh lebih 100 tahun di Turkiye itu dikatakan meranapkan ribuan bangunan di beberapa bandar dan turut menyebabkan kerosakan teruk di negara jiran, Syria.

Di Turkiye, kawasan yang terjejas teruk adalah di Gaziantep, Kahramanmaras, Sanliurfa, Osmaniye, Diyarbakir dan Malatya manakala di Syria melibatkan Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.

Gegaran itu turut dirasai di Lubnan, Syria, Cyprus dan Mesir. – MalaysiaGazette