Setiausaha Agung MUDA, Amir Abdul Hadi bercakap kepada media selepas menghadiri pertemuan dengan Jawatankuasa Rundingan Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan pembahagian kawasan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 23 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR –  Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memfailkan permohonan membatalkan pertuduhan berkaitan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang sedang dihadapi oleh setiausaha agungnya.

Amir Hariri Abd Hadi melalui peguam belanya, Raj Surian Pillai membuat bantahan awal terhadap dakwaan tersebut atas alasan ianya pertuduhan ‘cacat’.

Untuk makluman, notis permohonan itu telah diserahkan kepada Mahkamah Majistret di sini semalam dan ianya juga sudah diserahkan kepada pasukan pendakwaan hari ini.

Menurut Raj Surian, mahkamah telah menetapkan 20 Mac depan bagi hujahan bertulis oleh Majistret Nurul Izzah Shaharuddin hari ini.

“Manakala pendengaran bantahan awal pula di tetapkan pada 27 Mac,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Amir didakwa kali pertama di mahkamah dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan selaku penganjur gagal mengemukakan notis kepada polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan diadakan.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada jam 2 petang, 14 Ogos lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Media melaporkan kumpulan penganjur yang menggelarkan diri mereka Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? menuntut kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat salah laku yang berlaku. – MalaysiaGazette