Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kerajaan setuju menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan seramai 20 anggota itu  melibatkan Angkatan Pertahanan Awam seramai 20 orang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat 30 anggota.

Beliau berkata, kesemua 70 anggota itu akan berlepas ke Turkiye malam ini.

“Pasukan SMART yang pertama telah melakukan bantuan menyelamat sangat berkesan dan Turkiye memohon bantuan lagi.

“Penerbangan pasukan ini akan ditaja Turkish Airline dan ia telah mengurangkan beban kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di di sini hari ini.

Turut hadir dua timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kelmarin, seramai 70 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berlepas ke Turkiye menjadi antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama yang tiba di negara itu bagi membantu Kerajaan Turkiye untuk misi mencari dan menyelamat mangsa yang terjejas akibat kejadian gempa bumi.

Mereka selamat tiba di Istanbul pada pukul 6 pagi waktu tempatan semalam dan telah digerakkan ke Adana bagi misi mencari dan menyelamat di kawasan berkenaan yang terletak 500 kilometer (km) dari Ankara atau 987 km dari Istanbul.

Misi bantuan kemanusian itu adalah hasil daripada penyelarasan yang amat baik antara kesemua Agensi Kerajaan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul serta Kedutaan Besar Republik Turkiye di Kuala Lumpur dan Turkish Airlines.

Awal pagi Isnin lalu, ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan di Turkiye dan Syria apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara Turkiye pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan).

Gempa bumi terburuk dalam tempoh lebih 100 tahun di Turkiye itu dikatakan meranapkan puluhan bangunan di beberapa bandar dan turut menyebabkan kerosakan teruk di negara jiran, Syria.

Di Turkiye, kawasan yang terjejas teruk adalah di Gaziantep, Kahramanmaras, Sanliurfa, Osmaniye, Diyarbakir dan Malatya manakala di Syria melibatkan Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.

Gegaran itu turut dirasai di Lubnan, Syria, Cyprus dan Mesir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast