Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak luar tiada hak untuk mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang Malaysia.

Lantaran itu, tegas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, mana-mana pihak tidak boleh mempersoalkan kewajaran jabatan itu melaksanakan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin kerana ia adalah tugas hakiki mereka.

Penegasan itu dibuat bagi menjawab dakwaan Migrant Care yang menafikan penempatan warga Indonesia yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia di Nilai Spring, Negeri Sembilan awal bulan ini adalah penempatan haram.

Badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Jakarta itu mendakwa rumah dan binaan kayu lain termasuk sekolah sementara didirikan di kawasan terpencil kerana ada kaitan dengan majikan yang mengambil kumpulan pekerja itu bagi perlombongan pasir di situ, kira-kira sembilan tahun lalu.

Khairul Dzaimee berkata, pengeluaran visa dan pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di negara ini, dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sebagai pihak berkuasa.

Bahkan, kedutaan asing tidak mempunyai kuasa mengeluarkan sebarang bentuk pas bagi membenarkan rakyat mereka menetap di Malaysia walaupun untuk tempoh sementara.

”Fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak ialah mereka yang ditahan dalam operasi bersepadu ini adalah pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, rakyat Malaysia juga dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila mereka melanggar undang-undang Imigresen negara berkenaan.

Justeru, semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara, ujarnya. – MalaysiaGazette

Keberadaan warga asing di Malaysia tertakluk kepada peraturan, undang-undang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast