Barisan pemain TNB yang akan beraksi di TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2023 bermula esok.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan pasukan hokinya mengulangi pencapaian 20 tahun lalu dengan memenangi kejuaraan berganda Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) bermula esok.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din melontarkan cabaran sebagai sasaran realistik kepada pasukannya yang bakal dibarisi 100 peratus pemain tempatan.

“Kami akan turun untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala TNB, justeru adalah logik kami menambah sasaran lebih baik turut merangkul piala liga.

“Lagi pun sudah 20 tahun TNB tidak menikmati kemenangan berganda ini,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim pada majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts di Ibu Pejabat TNB di Bangsar semalam.

TNB tidak pernah gagal menyertai TNB MHL sejak diperkenalkan pada 1987 dan dua kali meraih kemenangan berganda pada musim 1991-1992 dan 2003.

Perjuangan TNB seterusnya menjadi getir apabila pasukan-pasukan bertanding dibenarkan mendapat khidmat pemain import termasuk Terengganu Hockey Team (THT) yang menjuarai liga musim lalu.

TNB yang kekal mengharungi cabaran dengan pemain-pemain tempatan bagaimanapun berjaya menumpaskan THT 3-2 dalam perlawanan akhir kejuaraan keseluruhan Piala TNB musim lalu.

Musim ini, TNB lebih awal berpeluang memburu kejuaraan apabila memulakan perjuangan dengan bertemu THT dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil esok.

“Tiada kurangnya pasukan TNB berbanding pasukan lain. Berbekalkan semangat Piala Dunia baru-baru ini, tidak mustahil Piala Sumbangsih boleh menjadi milik kami. Jika itu dapat dicapai ia juga menjadi permulaan yang baik musim ini,” kata Baharin merujuk kepada hakikat pemain-pemain TNB adalah tonggak pasukan Piala Dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din bersama sebahagian pemain TNB yang akan beraksi di TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2023 esok.

Persembahan membanggakan pasukan negara sebelum tersekat ke suku akhir Piala Dunia, di Bhubaneswar – Rourkela, India bulan lalu diperkuatkan oleh sembilan pemain TNB iaitu Faiz Helmi Jali, Aminuddin Zain, Ramadan Rosli, Firhan Ashari, Amirul Hamizan Azhar, Norsyafiq Sumantri, Shahril Saabah, Najib Abu Hasan dan Tengku Nasrol Ikmal Hakimie.

Sementara itu, Ketua Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan persembahan di persaingan tertinggi Piala Dunia mampu meningkatkan keupayaan dan kematangan pemain TNB untuk digarap dalam persaingan tempatan.

“Saya merasakan kali ini boleh menjadi musim lebih baik kepada TNB. Berdasarkan prestasi semasa, TNB berada dalam kedudukan terbaik untuk merangkul kejuaraan liga selepas kali
terakhir memenanginya pada tahun 2010,” kata bekas kapten pasukan kebangsaan itu.

Dalam pada itu, Lapan pasukan akan bersaing dalam kategori lelaki TNB MHL iaitu TNB, THT, Maybank, Nurinsafi Sporting, Universiti Teknologi Mara (UiTM) HA, TNB Thunderbolts dan Young Tigers serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi muka baru musim ini.

Kategori wanita pula melibatkan saingan enam pasukan iaitu KPT-Uniten Thunder, Negeri Sembilan, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA, TLHT-MSNT, Young Tigress dan CS Hockey Team.

Format TNB MHL tahun ini akan dilangsungkan secara pertandingan liga dua pusingan (home away) dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga akan muncul selaku juara.

Bagi Piala TNB (kategori lelaki) dan Piala Vivian May Soars (wanita), empat pasukan teratas liga akan berentap dalam perlawanan separuh akhir, juga secara timbal balik bagi penentuan kemaraan ke perlawanan akhir. – MalaysiaGazette