Tapak warisan Aleppo Citadel di Syria.

PARIS – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Selasa menyuarakan kebimbangan mengenai kerosakan di tapak warisan di Syria dan Turkiye sambil berjanji untuk membantu kedua-dua negara yang dilanda gempa bumi itu, lapor Xinhua.

Susulan tinjauan awal ke atas tapak warisan yang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan, UNESCO mengambil berat menegnai keadaan di bandar Purba Aleppo, Syria yang tersenarai sebagai “Warisan Dunia dalam Bahaya”.

Sementara itu di Turkiye, beberapa bangunan di bandar Diyarbakir runtuh.

Bandar ini adalah lokasi tapak Warisan Dunia “Kubu Diyarbakir dan Landskap Budaya Hevsel Gardens”, sebuah pusat penting semasa zaman Rom, Sassanid, Byzantine, Islam dan Uthmaniyyah.

Pakar UNESCO, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan kini berusaha mewujudkan inventori tepat mengenai kerosakan di tapak dalam Senarai Warisan Dunia.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga dan orang tersayang mereka yang meninggal dunia. Doa saya juga untuk mereka yang cedera dan semua yang terjejas. Organisasi kami akan memberikan bantuan berdasarkan mandatnya,” kata Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay.

Gempa bumi kuat melanda wilayah Kahramanmaras, selatan Türkiye pada Isnin pagi waktu tempatan (0117 GMT) Isnin, beberapa minit kemudian gempa kuat turut melanda Gaziantep yang setakat ini sudah meragut ribuan nyawa.

Gempa itu turut menjejaskan negara jiran Syria. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast