BIARPUN setiap negara merasai biasan sang mentari yang sama, namun cahaya merah merekah di Busan sukar dibandingkan dengan matahari yang acap kali muncul di Malaysia.

Negara yang sinomin dengan budaya K-Pop disini nampaknya mencerakinkan rasa hormat dan amat menghargai kemunculan ‘semula’ mentari pagi atau dalam bahasa Korea ‘Hae’.

Terletak di bahagian paling tenggara Semenanjung Korea, Busan memang terkenal dengan pantai-pantai yang indah dan sering menjadi tempat percutian rakyat tempatan selain pelawat antarabangsa.

Pantai Haeundae adalah pantai paling popular di Busan bagi penggemar cahaya matahari.

Masyarakat di sini begitu teruja sekali setiap kali ‘si jingga’ muncul di ufuk timur pantai ini.

Kebanyakan mereka akan ke pantai seawal jam 6 pagi semata-mata ingin menjadi yang pertama bermandikan cahaya mentari merah.

Maka tidak pelik digambarkan apabila terdapat wanita sanggup memakai kasut tumit tinggi semata-mata untuk dilimpahi cahaya matahari.

Beberapa pantai popular di Busan ialah Pantai Dadaepo, Pantai Gwangalli, Pantai Songdo dan Pantai Songjeong.

Media Malaysia yang membuat liputan penyambungan semula penernagan Kuala Lumpur-Busan bergambar di bandaraya Busan.
Media Malaysia yang membuat liputan penyambungan semula penernagan Kuala Lumpur-Busan bergambar di bandaraya Busan.

Mencari zombi Busan

Pertama kali menjejakkan kaki ke kota kedua terbesar Korea Selatan ini, hati terdetik sama ada wujudkah zombie pemakan daging manusia sebagaimana dipamerkan dalam ‘Train to Busan’.

Kuat sungguh kesan filem ternama Korea Selatan itu pada penulis.

Malah perasaan itu memuncak apabila melihat keretapi Korail yang diparkir di landasan kereta api.

Rasa seperti ada watak pak cik tua, Yon-suk di dalam keretapi tersebut sedang berusaha untuk keluar untuk ‘mencari’ mangsa seterusnya.

Namun fantasi itu hilang dek kerana suasana sejuk yang mencecah 0 darjah celsius tatkala pagi dan waktu malam.

Sup Ayam popular - Samgyetang yang menjadi salah satu daripada menu halal yang terdapat di bandaraya Busan.
Sup Ayam popular – Samgyetang yang menjadi salah satu daripada menu halal yang terdapat di bandaraya Busan.

Makanan halal

Pengunjung Islam yang mahu ke negara ini tidak perlu lagi gusar tentang makanan halal.

Terdapat pelbagai restoran yang menawarkan makanan halal dan mesra Muslim yang enak.

Kota ini adalah tumpuan pelbagai bangsa yang turut membawa pengaruh tidak hanya budaya tetapi juga makanan warisan mereka.

Faktor itu turut menjadikan bandar ini sebagai ‘syurga’ yang menyediakan pelbagai makanan untuk memenuhi selera dan keperluan agama bukan saja kepada rakyatnya Korea Selatan tetapi juga pelancong dari serata dunia.

Menu Sup Ayam popular – Samgyetang, umpamanya menjanjikan rasa asli masakan itu yang dimasak bersama ginseng.

Ia merupakan salah satu makanan stamina buat masyarakat Korea.

Aroma sup daripada herba tradisional dan ayam yang dimasak sehingga lembut membuatkan ia pengalaman yang baharu buat penulis.

Malah kepada penggemar sate ayam mahupun makanan Indonesia, boleh singgah di Restoran Bakso Bejo Korea di Jung-gu, Busan.

Tidak perlu risau, kerana semuanya dijamin halal, malah ia turut dilengkapi surau di dalamnya.

Biarpun Busan tidak sepopular Seoul, namun ia turut menjanjikan pelbagai daya tarikan yang menarik untuk pelancong yang ingin bercuti di sini.

Penulis dibawa ke Busan oleh AirAsia X dalam penerbangan terus dari Kuala Lumpur selepas laluan itu dikembalikan semula.

Sebagai syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X menawarkan tambang daripada RM539 sehala untuk tempat duduk ekonomi atau RM1,999 sehala untuk tempat duduk Premium Flatbed. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast