Hanis Nadiah Onn

KUALA LUMPUR – Pemain hoki, Hanis Nadiah Onn digantung dan tidak dibenarkan mewakili negara di Temasya Sukan Sea Kemboja 2023 selepas didapati menaikkan komen berbaur perkauman semasa konsert AR Rahman pada 28 Januari 2023.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Kementerian Belia dan Sukan berkata, Hanis telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial
miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.

Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.

”Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM.

”Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-
mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023,” kata KBS dalam kenyataan di sini.

Namun, katanya, pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.

Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial.

KBS berkata, dalam siasatan yang dijalankan, Hanis mengakui telah memuatnaik ciapan komen ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuatnaik oleh Kosmo Online.

Ciapan itu dibuat mengekori komen netizen lain pada muatnaik berkenaan.

Hanis menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaikkan ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton.

Beliau hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur oleh netizen.

Ekoran daripada teguran itu, Hanis telah memadam komen beliau pada pagi 29 Januari 2023 dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan itu.

Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran ciapannya dan menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang rasis dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, Johor serta memiliki ramai rakan berbangsa India, terutamanya sebagai atlet negara.

”Jawatankuasa Siasatan juga telah memanggil jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang menyatakan sebagai pemain utama pasukan, Hanis memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.

”Mohd Nasihin juga mengakui Hanis memiliki ramai rakan-rakan hoki dalam kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan,” kata kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette