Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dari Bukit Aman telah dilantik sebagai Ketua Polis Selangor baharu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin memaklumkan pelantikan itu dalam kenyataan pertukaran pegawai kanan PDRM yang dikeluarkan di Bukit Aman di sini petang tadi.

Pertukaran Hussein sebagai ketua Kontinjen Selangor akan berkuatkuasa 13 Mac ini dan beliau akan memangku pangkat sebagai Komisioner Polis kelak.

Pelantikan Hussein menyusul sebagai mengisi kekosongan jawatan yang sebelum ini ditinggalkan oleh Datuk Arjunaidi Mohamed kerana bersara wajib pada 2 Januari lalu.

Untuk sementara waktu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam telah dilantik sebagai pemangku berkuatkuasa 30 Disember  lalu.

Arjunaidi yang telah berkhidmat selama hampir 36 tahun dalam PDRM memulakan kariernya sebagai pegawai kanan polis pada  17 November 1979.

Hussein, 53, berasal dari Bidor, Perak telah berkhidmat selama 28 tahun dalam pasukan PDRM.

Beliau sebelum ini pernah mengetuai Pembinaan dan Pengoperasian Forensik Databank DNA Malaysia serta terbabit dalam siasatan forensik kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati.

Selain itu beliau juga turut diberi tanggungjawab mengetuai siasatan operasi MH17 di Ukraine pada tahun 2014. – MalaysiaGazette