JOHOR BAHRU –  Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan persatuan sukan dibawahnya perlu melahirkan atlet terbaik dari sekarang sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, persediaan itu membolehkan Kontinjen Johor mengulangi prestasi membanggakan pada Sukma edisi ke-20 di Kuala Lumpur, tahun lalu.
Tahun lalu, Kontinjen Johor berjaya meraih 77 pingat emas, 52 perak dan 44 gangsa, sekali gus menamatkan penantian 36 tahun untuk menjadi juara keseluruhan buat pertama kali.
“Sudah pasti kejayaan yang pernah kita kecapi tahun lalu menjadi landasan pencapaian sukan di negeri Johor. Dengan kekuatan kepimpinan persatuan sukan serta sokongan pegawai sukan, pasukan sokongan dan kebijaksanaan ketua jurulatih pastinya akan menghasilkan lebih banyak kejayaan.
“Saya percaya MSNJ akan menyediakan barisan atlet-atlet yang terbaik. Meskipun ia akan berlangsung pada tahun hadapan, saya berharap semua pihak akan berganding bahu untuk menjayakan misi seterusnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Awal Tahun 2023 dan Majlis penyampaian insentif khas kepada ketua-ketua jurulatih sukan sempena Sukma XX MSN 2022 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, MSNJ memberi insentif kepada 40 jurulatih yang bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan persatuan pada tahun lalu.
“Tahun ini juga menyaksikan kalendar sukan Johor dijangka penuh dengan sasaran penganjuran oleh persatuan-persatuan sukan yang memberi tanda positif menyahut cabaran program penggredan persatuan MSNJ.
“Skim penggredan ini membolehkan setiap persatuan menepati sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penganjuran kejohanan sukan yang dipantau MSNJ.
“Insentif dari segi imbuhan kewangan akan diberikan berdasarkan gred mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast