Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital akan melaksanakan dua bentuk sesi pengagihan PerantiSiswa bagi mempercepatkan pengagihan baki 51,083 atau 14 peratus kepada penerimanya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sehingga hari ini, sebanyak 315,760 atau 86 peratus peranti telah diagihkan kepada penerimanya daripada 366,843 pemohonan yang telah diluluskan.

“Sesi pertama akan dijalankan menerusi penjadualan pengagihan ke institusi-institusi penerima disegerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi sesi kedua, Pusat Pengagihan PerantiSiswa (PPPs) akan digerakkan serentak menerusi tiga sesi di seluruh negara bermula 17 hingga 19 Februari, 24 hingga 26 Februari 2023 (Sesi Kedua) dan 3 hingga 5 Mac 2023 (Sesi Ketiga) di pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi yang ditentukan di setiap negeri.

Jelas Fahmi, pengagihan secara berpusat memberikan fleksibiliti kepada penerima untuk memilih pusat agihan dan sesi yang bersesuaian tanpa mengira lokaliti insitusi penerima asal.

“Ini bermaksud pelajar yang sedang bercuti, sedang menjalani latihan industri atau apa-apa sebab yang berkaitan dapat mengambil peranti di PPPs yang terdekat pilihan masing-masing,” ujarnya.

Tambah Fahmi, pemohon yang telah lulus tetapi belum diagihkan peranti akan menerima notifikasi dan boleh memilih pusat agihan.

Selain itu turut disediakan sesi yang bersesuaian dengan mengakses akaun platform yang sama semasa permohonan tempoh hari di pautan https://perantisiswa.kkd.gov.my bermula hari ini. – MalaysiaGazette