Temubual SkopMG bersama Setiausaha Agung Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar di Studio Malaysia Gazette (MG), Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Masa untuk Tan Sri Shahrizat Abdul Jail kembali menerajui Wanita UMNO Malaysia sudah berlalu, lagipun parti itu tidak ketandusan pelapis, tegas Setiausaha Agung Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar.

Sebaliknya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad wajar diberi peluang dan ruang untuk meneruskan kepimpinannya.

“Biarpun UMNO mengamalkan demokrasi terpimpin dengan membolehkan pertandingan diadakan, tetapi tidak wajar untuk Shahrizat kembali mencabar kedudukan ketua wanita.

“Tidak ada salahnya untuk beliau mencabar tetapi realitinya masa untuk beliau kembali ke gelanggang wanita sudah berlalu.

“Bukan bermakna saya tidak suka kepada beliau, cuma saya tidak mahu ada yang kata wanita ketandusan pemimpin sedangkan ramai daripada wanita sendiri serta kalangan Puteri yang sekarang bertukar kepada Wanita boleh diketengahkan menjadi pempimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program SKOP MG yang bertajuk ‘UMNO Ketandusan Pemimpin Wanita?, sekali gus menjawab ura-ura mengatakan Shahrizat ingin mencabar jawatan yang dipegang oleh Noraini.

“Noraini telah dididik oleh Shahrizat sebelum ini. Shahrizat melepaskan tanggungjawab selepas tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai ketua kerana ketika itu isu NFC hangat diperkatakan.

“Noraini menang dalam pertandingan ketua ketika itu dan mengalahkan Datuk Azizah Dun,” ujarnya.

Rosni menegaskan, dari segi kepimpinan sudah tentu Shahrizat dan Noraini tidak sama.

”Noraini berasal dari Puteri, pasti tidak sama langkah, permainan, gurauan dan pendekatan dalam Puteri dan Wanita. Saya dan wanita lain pada mulanya rasa janggal. Tapi, ini bukanlah kelemahan beliau sebagai pemimpin,” jelasnya lagi.

Apa yang penting, tegas beliau, Noraini telah mengambil tanggungjawab sebagai Ketua adalah ketika parti kalah dalam Pilihan Raya Umum Kali Ke-14.

“Selepas itu, bersambung pula dengan PKP (perintah kawalan pergerakan), lihat bagaimana beliau tunjukkan integriti sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia?

“Keadaan memang sangat berbeza, jauh daripada zaman Shahrizat dulu,” katanya.

Jelasnya, era Shahrizat menjadi Ketua Wanita adalah pada semasa UMNO menjadi kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sangat berbeza bila kalah dan menang. Ketika kalah, muncul pula percaturan dengan Perikatan Nasional dan macam-macam lagi yang berlaku.

“Namun yang paling besar buat saya adalah pengorbanan Noraini meletakkan jawatan sebagai menteri demi parti. Bukan sahaja parti tetapi demi maruah wanita.

“Saya bukan bias (berat sebelah), ini perlu dilihat kembali kerana bukan mudah untuk melepas jawatan tinggi seperti itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast