.Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Mohd Jarjis hari ini berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat diperoleh dua cucunya yang antara lain melarang beliau mendedahkan maklumat berkaitan akaun Rantai Wawasan Sdn Bhd kepada pihak ketiga.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan anak-anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis untuk meneruskan rayuan mereka berhubung kemasukan saham Rantai Wawasan Sdn Bhd bernilai RM1.044 bilion dalam senarai harta pusaka bapa mereka.

Untuk makluman, Jamaluddin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi terbunuh dalam nahas helikopter ketika dalam perjalanan dari Pekan, Pahang ke ibu negara pada 4 April 2015.

Anak-anak Allayarham merayu keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepada nenek mereka, Aminah Abdullah bagi memasukkan tiga juta saham Rantai Wawasan dalam senarai harta pusaka bapa mereka.

Tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan kebenaran merayu itu berserta kos RM30,000 dalam keputusan 2-1.

Abdul Rahman dan Rhodariah memutuskan keputusan majoriti manakala Nallini sebaliknya hari ini ketika prosiding atas talian.

Kata Abdul Rahman, permohonan anak-anak Allayarham gagal kerana tidak memenuhi keperluan Seksyen 96, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 manakala Nallini dalam penghakimannya secara bertentangan mengatakan kebenaran harus diberikan kerana tiada penemuan fakta serentak oleh mahkamah sebelum ini.

Pada 3 Januari 2019, Aminah, 88, menyaman cucunya dan mendakwa saham tiga syarikat iaitu saham Rantai Wawasan, enam juta saham Alpine Motion bernilai RM233 juta dan dua saham Ivory Insights bernilai RM80 juta perlu dipertimbangkan sebagai sebahagian harta pusaka anaknya.

Pada 13 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah untuk pengisytiharan tiga juta saham Rantai Wawasan Sdn Bhd dimasukkan dalam senarai harta pusaka Jamaluddin namun menolak permohonan warga emas itu untuk pengisytiharan saham dua lagi syarikat.

Mahkamah Rayuan pada 19 Ogos tahun lalu menolak rayuan kedua-dua anak Allahyarham itu dan Aminah serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ikhwan Hafiz dan Nur Anis kemudiannya memfailkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan mahkamah mengenai saham Rantai Wawasan. – MalaysiaGazette