Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga.

“Saya sebagai perdana menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.

“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai perdana menteri pada waktu itu,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya malam ini.

Beliau merujuk kepada laporan portal Free Malaysia Today bertarikh 8 Februari 2023 yang mendakwa kononnya beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Selain itu, menurut Muhyiddin, tiada mana-mana ahli keluarganya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?” soalnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin percaya dakwaan itu sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan- Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau perdana menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan.

“Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” dakwanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.