kes Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berharap pengurangan peruntukan pembangunan kepada setiap ahli Parlimen seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dipertimbangkan semula.

Ini kerana, kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu, peruntukan sebanyak RM2 juta itu adalah untuk kegunaan kebajikan rakyat.

“Duit tersebut bukan gaji atau elaun ahli Parlimen tetapi itulah yang akan digunakan untuk perbaiki tandas sekolah yang rosak, atap-atap masjid yang usang, dan bantuan kepada rakyat susah seperti bakul makanan.

“Kalau nak mantapkan integriti, boleh audit semua perbelanjaan ini,” katanya yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA) menerusi hantaran di Facebook.

Jumaat lalu, Anwar mengesahkan peruntukan pembangunan tahunan kepada ahli Parlimen dikurangkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.

Katanya, peruntukan yang diselaraskan dengan Pejabat Daerah dan Pegawai Kemajuan Negeri itu akan tetap disalurkan namun, secara berperingkat dan mengikut keperluan.

Bagaimanapun, projek-projek pembangunan dan pembaikan yang memerlukan peruntukan mendesak akan dipertimbangkan segera. – MalaysiaGazette