Razman Zakaria

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria memohon maaf secara terbuka selepas menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertindak mempromosi amalan lesbian, gay biseksual dan transgander (LGBT) jika dilantik menjadi perdana menteri dalam ceramah kempen Pilihan Raya (PRU) yang lepas.

Tindakan ini dilakukan Razman selepas Mahkamah Tinggi Taiping membenarkan untuk penyelesaian kes saman fitnah yang telah dikemukakan oleh Anwar, yang juga Presiden PKR itu dengan membuat permohonan maaf tidak bersyarat.

Selaku defendan tunggal, Razman membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin berkata, ceramahnya itu telah menyinggung perasaan dan memfitnah Anwar.

“Saya ingin menzahirkan bahawa ungkapan saya telah mencetuskan keburukan moral dan menjejaskan reputasi baik Yang Amat Berhomat (Anwar) serta menyebabkan rasa malu, kerosakan dan kesusahan yang teruk dan tidak terukur.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menarik balik semua fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada Yang Amat Berhomat dan menyatakan kekesalan serta permohonan maaf saya yang tidak terhingga atas ungkapan tersebut.

”Saya berjanji tidak akan mengulangi ungkapan itu dalam apa jua bentuk, cara atau sebagainya pada masa hadapan,” katanya.

Mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak dalam kes fitnah itu.

Sebelum ini pada Disember tahun lalu, Anwar melalui peguamnya, Datuk Sankara Nair telah memfailkan saman fitnah itu menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya. -MalaysiaGazette