Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Sarawak bersedia menjadi tuan rumah penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sekiranya diberikan peluang untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata, bagaimanapun, kerajaan Persekutuan perlu memaklumkan perkara itu lebih awal sebagai persediaan negeri ini untuk memperbaiki serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur sukan yang sedia ada.

“Kita (Sarawak) akan agihkan peruntukan khas untuk pembangunan sukan…saya juga telah mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semasa mengadakan pertemuan dengan beliau baru-baru ini agar penganjuran SUKMA berdasarkan penggiliran seperti di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

“Kita juga mahu bersama-sama membangunkan sukan negara serta meningkatkan mutu atlet negara. Contohnya kita ada (ratu terjun negara) Datuk Pandelela (Rinong) dan (atlet powerlifting) Bonnie (Bunyau Gustin),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian insentif atlet SUKMA XX; MSN 2022; Sukan SEA Hanoi 2021; Sukan Para ASEAN 2022 di Solo, Indonesia dan Sukan Komanwel Birmingham 2022, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri itu, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Abang Johari berkata penganjuran SUKMA seharusnya mempunyai standard dan konsistensi supaya Malaysia mampu melahirkan barisan atlet bertaraf antarabangsa.

“Untuk sukan seluruh negara sepatutnya kita ada satu modul standard…tidak boleh membatalkan mana-mana sukan sesuka hati,” katanya.

Pada majlis itu, insentif wang tunai berjumlah RM755,000 telah diagihkan kepada atlet Sarawak yang berjaya memperolehi pingat dalam temasya sukan tersebut.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast