Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menerima sijil Malaysia Book of Records dalam Penyertaan Pelajar Terbesar dalam Pertandingan Sains Teknologi dan Inovasi Sempena Malaysia Techlympics 2022 pada Majlis Apresiasi Malaysia Techlympics 2022 di Bora Ombak Marina, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap peruntukan yang akan disalur kepada kementerian itu tidak akan dikurangkan pada pembentangan Belanjawan 2023 tidak lama lagi.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, ia disebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat mengetahui berkenaan kepentingan sains, teknologi dan inovasi kepada negara.

Bagaimanapun, beliau faham mengenai kekangan kewangan yang dihadapi negara dan semua itu bergantung kepada pembentangan yang akan diumumkan kelak.

“Saya harap boleh tambah tapi saya juga faham keadaan ekonomi sedikit terbantut maka MOSTI harap sekurangnya kekalkan apa yang ada kalau lebih bonus.

“Sains teknologi amat penting bukan untuk sekarang tapi untuk masa depan. Saya harap bajet takkan kurang,” katanya selepas Majlis Apresiasi Malaysia Techlympics di sini hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. Foto MOHD ADZLAN, 09 FEBRUARI 2023.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pemotongan peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, Lih Kang mengharapkan sokongan daripada pihak swasta untuk membantu rakyat di kawasan.

Ahli Parlimen Tanjung Malim itu berkata, untuk membangunkan kawasan di mana-mana negara ia tidak hanya bergantung 100 peratus kepada kerajaan sahaja tapi turut melibatkan semua pihak.

“Maka, kena ada kerjasama dengan swasta dan ini bukan untuk negara, bahkan kawasan. Saya yakin swasta juga akan berikan kerjasama baik untuk bantu rakyat di kawasan kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast