Anthony Loke

PUTRAJAYA — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mahu siasatan segera dijalankan ke atas kemalangan maut di Genting Highlands, semalam, yang mengorbankan tujuh penumpang.

Beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu melakukan siasatan terhadap syarikat operator van persiaran yang membawa mangsa.

“Saya juga meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menjalankan siasatan dan mengkaji apakah punca kemalangan.

“MIROS akan bertanggungjawab untuk mengkaji keselamatan keadaan jalan disana dan akan melaporkan dapatan mereka kepada pihak kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Anthony, dalam kes ini, reka bentuk jalan raya dan juga selekoh terbabit perlu dikenalpasti adakah ia membahayakan pengguna.

Ini kerana menurut beliau, kemalangan itu disebabkan kenderaan yang dinaiki mangsa hilang kawalan semasa mendekati selekoh tajam di kawasan tersebut.

Terdahulu, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu.

Semalam media melaporkan tujuh mangsa maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah van yang terbabas di Kilometer 4.8, Jalan Genting Highlands, Bentong, dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas bercuti di Genting Highlands.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 1.15 tengah hari itu pemandu van, Wong Choun Chiet, 49, serta lima penumpang, Foon Ah Lan, 67, Lee Moy, 67, Goh Siew Kim, 61, Ang Meng Hong, 62, Seow Mee Tin, 72.

Seorang lagi penumpang, Chang Them Kong, 70, dilaporkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Enam maut van terbabas jalan turun Genting Highlands