Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat replika bangunan hospital tersebut sambil diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga kiri) dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa (kanan) selepas Majlis Perasmian Hospital Tanjong Karang di Hospital Tanjong Karang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 09 FEBRUARI 2023.

TANJONG KARANG – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) melihat keperluan fasiliti kesihatan di negeri berkenaan secara menyeluruh khususnya di hospital.

Sultan Selangor bertitah dengan jumlah penduduk negeri itu yang kini melebihi tujuh juta orang dan merupakan paling ramai di Malaysia, ia semestinya memerlukan fasiliti kesihatan yang banyak di merata tempat serta mempunyai kemudahan peralatan terkini.

“Beta berkenan supaya perkhidmatan kesihatan yang diberikan di hospital perlulah mempunyai sistem pengurusan yang baik dan dikelolakan dengan cekap, supaya ia dapat menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan di Selangor.

“Perkara ini juga menjurus kepada penyelenggaraan hospital supaya peralatan dan infrastruktur sentiasa dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat,” titah baginda sempena perasmian Hospital Tanjong Karang, di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan siap terbinanya Hospital Tanjong Karang baharu itu yang telah memulakan operasinya pada 10 Okt 2022.

“Dengan adanya hospital ini, dapatlah penduduk di sekitar kawasan ini menerima kemudahan dan akses kepada perkhidmatan perubatan yang lebih baik dan berkesan. Harapan beta, ia dapat meredakan beban rakyat, khususnya di daerah Kuala Selangor,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah dalam mendepani pelbagai karenah dan keperluan pesakit serta keluarga yang kadang kala mencabar kesabaran, baginda menyeru agar petugas hospital dan institusi kesihatan lebih bertoleransi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan.

Baginda turut menyeru penduduk Selangor untuk mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan kedua bagi perlindungan optimum daripada COVID-19 susulan pergerakan fizikal rakyat yang semakin banyak dalam fasa endemik.

Selain itu, baginda juga menyeru rakyat semua untuk tidak mengasing atau meletakkan stigma kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan melampau.

“Beta turut menyeru individu yang mengalami masalah kesihatan mental untuk merujuk kepada pakar perubatan bagi mendapatkan rawatan sewajarnya,” titah baginda.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast