Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping hadir pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke 41 prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak mendakwa dirinya tidak pernah syak wasangka terhadap Jho Low dan hubunganya dengan bekas Perdana Menteri itu.

Ini kerana Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho seringkali memberi bayangan bahawa Najib amat rapat dengannya, kata bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping

Malah dakwa Joanna, Jho Low selalu membahasakan Najib sebagai ‘big boss’ setiap kali bercakap tentang beliau.

Ketika di soal Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Joanna berkata, setiap kali bermesyuarat, Jho Low akan merujuk Najib sebagai ‘boss’.

Malah, dakwa Joanna, dia tidak pernah diberitahu oleh mana-mana pihak bahawa Jho Low bukanlah penasihat kepada Najib.

“Saya tidak pernah sangsi. Malah yang pernah duduk dalam lembaga 1MDB dan berurusan dengan saya seperti Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Terrence Geh, Radhi Mohamad.

“Tidak ada sebab untuk saya sangsi apa-apa dikatakan oleh Jho Low itu tidak benar,” katanya ketika pemeriksaan balas di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Joanna turut memberikan alasan dia tidak pernah bertemu dengan Najib kerana hanya bergantung dengan Jho Low sebagai penasihat dan Nik Faisal Ariff Kamil yang merupakan pemegang mandat akaun.

Dakwa Joanna, dia hanyalah pegawai biasa dan tidak mungkin layak untuk berjumpa dengan seseorang yang bergelar perdana menteri.

“Semua yang terlibat dengan pembukaan akaun PM (Najib) adalah pegawai atasan Ambank. Saya hanya pegawai biasa.

“Saya telah lakukan yang terbaik menguruskan akaun Najib dengan mengemas kini dan memaklumkan semua transaksi kepada setiap jabatan dalam Ambank,”dakwanya.

Sebelum ini, ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Joanna mengaku dia gagal mengendalikan akaun bank Najib apabila tidak mendapatkan kebenaran bertulis sebelum berurusan dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Prosiding akan bersambung pada 27 Februari ini.

Najib sedang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette