ISKANDAR PUTERI – Kerajaan mampu mengatasi isu monopoli ejen serta sindiket negara sumber yang meraih keuntungan melampau dengan cara mendapatkan pekerja asing dengan kelulusan diberi dalam tempoh tiga hari.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, ia sekaligus mengurangkan birokrasi pengambilan pekerja yang sebelum ini menyebabkan banyak permohonan mengambil masa yang lama untuk diluluskan.
“Langkah kelonggaran menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang diumumkan pada Januari lalu itu dijangka akan mengurangkan monopoli ejen serta sindiket negara sumber yang mengenakan bayaran terlalu tinggi bagi mendapatkan pekerja asing.
“Tetapi harus diibgatkan walaupun kita telah melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing termasuk penangguhan penyediaan penginapan sehingga tempoh tertentu namun Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan membuat pemantauan selepas enam bulan bagi memastikan majikan patuh kepada syarat ditetapkan termasuk menyediakan penginapan pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja di kilang kanta lekap, Ciba Vision Sdn Bhd di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pengurus Besar Ciba Vision, Dr James Jeyadeva.
Pada Januari lalu, kerajaan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing untuk membenarkan majikan menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kemampuan dan keperluan sebenar.
Ia termasuk tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Bagaimanapun, kelulusan itu diberikan secara bersyarat iaitu akan ada proses naziran dan inspektoran dengan tindakan pemantauan dan pemeriksaan daripada agensi kawal selia berkaitan.
Jelas Mustapha, JTK akan membuat pemeriksaan mengejut ke kilang-kilang seluruh negara bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan penginapan pekerja terbela.
“Jadi saya harap majikan agar pastikan keselamatan, kebajikan dan penginapan pekerja sentiasa terjaga jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.
“Saya ingin tegaskan JTK akan membuat serbuan dan operasi mengejut terhadap kilang-kilang dan majikan di seluruh negara bagi memastikan majikan tidak menganiaya pekerja mereka,” katanya.- MalaysiaGazette