Badrul Hisham Shaharin (dua dari kanan) menunjukkan dokumen yang diserahkan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat di luar pekarangan Pejabat SPRM Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin memberi tempoh seminggu mulai hari ini kepada semua yang terlibat dalam siasatan dakwaan penyelewengan wang zakat di negeri ini untuk memberi penjelasan yang memuaskan.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon perkenan untuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

Difahamkan, pihak yang dimaksudkan oleh Badrul Hisham termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita akan mengambil tindakan sekiranya tiada penjelasan dan respon yang positif.

“Penjelasan itu maksudnya kena jawab semua kronologi yang kita bagi. Bukan sekadar jawab ‘tak ada kes’.

“Wang zakat ini merupakan isu sensitif umat Islam. Penjelasan tuntas diperlukan oleh rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Che’gu Bard berkata demikian sebelum menyerahkan dokumen berkaitan kes tersebut kepada SPRM Negeri Sembilan.

Semalam, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tersebut pada 2019 dan siasatan kes tersebut sudah selesai.

Menurut beliau, hasil siasatan di bawah Akta SPRM 2009 tidak menemukan sebarang unsur jenayah rasuah.

Awgkok Ahmad Taufik Putra turut meminta semua pihak menghentikan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan yang disiarkan dalam sebuah akaun Telegram baru-baru ini.

Selain itu, Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir semalam dilaporkan membuat penafian terhadap dakwaan itu.

Beliau menambah, MAINS telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial yang menyebarkan tohmahan dan fitnah tersebut.

Walau bagaimanapun, semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof mengesahkan, pihaknya telah membuka semula siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pecah amanah.

Sebelum itu, Rabu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan tersebut. – MalaysiaGazette