Anwar Ibrahim menjawab soalan pemberita pada sidang media di Bangkok, Thailand.


BANGKOK – Kerajaan akan menunggu cadangan penggunaan marijuana daripada Kementerian Kesihatan untuk tujuan perubatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membenarkannya untuk tujuan perubatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini pentadbiran beliau masih belum membuat keputusan mengenai mengenai perkara itu.

“Ia juga melibatkan aspek keselamatan kerana terdapat isu yang memberi kesan kepada keselamatan,” katanya pada sidang media bagi menghadiri lawatan kerja ke Thailand yang bermula semalam.

Pada 30 Januari lalu, Timbalan Perdana menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan bagi melihat kesesuaian dan kaedah penggunaan ketum serta ganja dalam bidang perubatan sekiranya ia dibenarkan di negara ini.

Fadillah berkata beliau akan memperincikan perkara itu termasuk melakukan perbincangan dengan pihak industri, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Sebelum ini, media melaporkan mekanisme kawalan yang teratur perlu diadakan terlebih dulu sebelum industri berasaskan produk ganja dan ketum dibangunkan di negara ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, mengingatkan rakyat Malaysia agar lebih peka dengan sindiket penipuan pekerjaan supaya tidak menjadi mangsa sindiket tersebut.

“Kita telah ambil pendirian agak tegas. Rakyat perlu lebih peka. Orang menipu berselindung di beberapa negara termasuk Myanmar. Kita tak boleh izinkan diri diperdaya,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai lima pencari kerja rakyat Malaysia yang mendakwa telah diperdayakan untuk ke Myanmar dan dipaksa bekerja dalam sindiket penipuan siber, telah diselamatkan dan kini berada di Bangkok untuk dibawa pulang.

Anwar berkata, kini Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil untuk mencari jalan bagi mengetatkan undang-undang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga buat akan mengabil langkah yang perlu.

Beliau berkata, apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memberi nasihat bagi mengelak mangsa diperdaya. – MalaysiaGazette.