Khairy Jamaluddin.-MUHD NA’IM, 11 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin UMNO yang dibuang parti, Khairy Jalamuddin meminta platform kecerdasan buatan (AI) ChatGPT membantunya mencari parti yang sesuai untuk disertai sebagai ahli.

Bagaimanapun soalan Which party should Khairy Jamaluddin choose (Parti mana yang harus dipilih oleh Khairy Jamaluddin) tidak mendapat jawapan yang diharapkan.

“Tak guna betul GhatGPT ni. Ingat boleh membantu,” rungut bekas Menteri Kesihatan itu di Instagram.

Model pemprosesan bahasa semula jadi yang dibangunkan oleh OpenAI itu menjawab, ‘dia’ tidak mempunyai pandangan peribadi mengenai soalan yang dilontarkan Khairy.

Sebagai model AI, ia tidak boleh bersikap untuk condong kepada mana-mana parti.

“Sebagai model bahasa AI, saya tidak mempunyai pandangan peribadi atau berpihak dalam hal politik. Keputusan parti politik mana yang akan bergabung adalah bersifat peribadi, dan ia bergantung kepada pelbagai faktor seperti kepercayaan, nilai dan matlamat individu.

Akhirnya terpulang kepada Khairy  untuk menentukan parti mana yang paling sesuai dengan pegangan dan prinsipnya sendiri, dan parti mana yang dia rasa akan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundinya dan negara secara keseluruhannya,” jawap ChatGPT.

ChatGPT menjadi fenomena pada ketika ini kerana ia mampu menjawab soalan daripada pengguna dalam pelbagai perkara.

Teknologi ini boleh memberikan jawapan agak khusus dengan arahan tertentu.

ChatGPT boleh menulis tweet, jenaka, karangan berbentuk dialog, iklan, pesanan teks, ulasan mengenai restoran, kod program komputer  dan nasihat profesional malah ia boleh memberikan resepi hanya dengan pengguna memberitahu bahan mentah yang ada di dalam peti sejuk.

Sebelum itu media melaporkan, Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, mulai Rabu depan.

Khairy atau mesra dipanggil KJ akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio popular itu mulai 15 Februari ini.

Tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dipecat keahliannya dari UMNO pada 27 Januari lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Aduhai.. camtu sekali ke nk tarik perhatian umum? Kalu kita dh hebat tak yh susah2 promosi diri utk menunjolkan diri dengan cara2 camni… lemah!

Comments are closed.