Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Polis memberkas seorang lelaki yang bersenjatakan parang dipercayai memecahkan cermin di rumah teman wanitanya di Kampung Cheras Baru dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pukul 2.02 petang ketika pengadu menerima panggilan telefon daripada ibunya yang memaklumkan kakak pengadu berada di rumah itu bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya.

Pada masa sama, bekas isteri kepada teman lelaki kakaknya turut berada di lokasi kejadian.

“Teman lelaki kakaknya mengamuk dan memecahkan cermin hadapan kereta Proton Saga FLX milik pengadu dan mematahkan tempat pemegang pintu sebelah pemandu menggunakan parang.

“Malah suspek berusia 40 tahun berkenaan juga mengugut mahu membunuh emak dan anak pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan kejadian itu, polis menahan suspek dan merampas sebilah parang sepanjang 64 sentimeter di kawasan yang sama.

“Punca suspek mengamuk dipercayai kerana bertengkar secara lisan dengan bekas isterinya di hadapan rumah teman wanitanya.

“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai satu rekod dadah, manakala hasil ujian saringan air kencing adalah positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin,” katanya.

Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 13 Februari depan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah yang mendatangkan ketakutan dan perbuatan khianat atas harta benda.- MalaysiaGazette