Persidangan Malaysia FIBERTalk 2023 diadakan bersama penggiat industri telekomunikasi (telco) bagi membincangkan pembangunan terkini industri.

KUALA LUMPUR – Persidangan Malaysia FIBERTalk 2023 menfokuskan pembangunan terkini industri menangani cabaran dan peluang ‘gentian ke rumah’ yang menyediakan keterhubungan 5G dan internet semua benda (loT) untuk bandar pintar di negara ini.

Persidangan anjuran Majlis FTTH Asia-Pasifik itu yang dihadiri penggiat industri telekomunikasi (telco) turut membincangkan mengenai Pelan Induk Penyambungan Pintar untuk Bandar Pintar Berdaya Tahan, Amalan Terbaik untuk Pembangunan FTTH dan gentian (fiber) untuk masa hadapan yang lestari.

Presiden Asia Pasifik Majlis FTTH, Venkatesan Babu berkata, penerokaan peranan gentian (fiber) dalam pelan hala tuju kepada 5G perlu mengambil kira cabaran dan keperluan yang diperlukan untuk menggunakan 5G dalam pembangunan bandar pintar.

“Telco terus berkembang dengan memanfaatkan teknologi baharu yang membolehkan penyelesaian yang lebih maju untuk memenuhi keperluan dunia sambil mengekalkan kemudahan pelanggan di barisan hadapan dalam usaha mereka.

“Persidangan ini adalah jalan yang sesuai untuk perkongsian pengetahuan dan rangkaian bagi membuka jalan kepada kerjasama untuk memacu pembangunan 5G dan loT untuk kehidupan lestari,” katanya dalam satu kenyataan sempena persidangan itu semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Bawani Selvaratnam selain wakil Maxis Bhd., Telekom Malaysia dan Celcom.

Venkatesan menambah, bandar kini memerlukan lebih banyak komunikasi silang di belakang tabir, serta lebih banyak sensor berkomunikasi antara satu sama lain.

Jelas beliau, ia memerlukan komunikasi masa nyata melalui rangkaian rendah internet yang tidak boleh dilakukan tanpa gentian.

Sementara itu, pada majlis yang sama turut diadakan acara Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis FTTH Asia Pasifik dan Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) disempurnakan.

Menerusi MoU tersebut, ia membolehkan Majlis FTTH Asia Pasifik memanfaatkan rangkaian ahli FTTH untuk memacu kerjasama secara kolektif dalam pembangunan Bandar Pintar.

Ini melibatkan pertukaran pengetahuan, kepakaran, teknologi dan pengetahuan untuk menyediakan penyelesaian telekomunikasi jangka panjang yang mampan untuk membangunkan bandar pintar.

MoU itu juga memerlukan kerjasama dalam pembinaan kapasiti untuk penilaian prestasi projek bandar mampan dan pintar, serta meneroka potensi jangkauan pasaran yang besar dalam segmen pendidikan dan latihan berasaskan teknologi IR 4.0. – MalaysiaGazette