SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka bergesel sesama sendiri sebelum terbabas di Kilometer 92.2, Lebuh Raya Utara Selatan di sini hari ini.
Kejadian pukul 2.05 pagi itu menyebabkan Muhammad Nafiz Mohd Nazaruddin, 18, maut di lokasi susulan mengalami kecederaan pada kepala.
Manakala rakannya, Mohammad Rohelmy Noor Hizar, 20, mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kedua-dua mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda RS itu daei arah Gurun menghala Sungai Petani.
“Bagaimanapun, dalam perjalanan itu masing-masing bergesel sesama sendiri sebelum terbabas ke kiri jalan. Impak perlanggaran itu menyebabkan salah seorang mangsa maut manakala rakanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zaidy, semakan mendapati remaja maut itu tidak mempunyai lesen memandu.
Mayat remaja itu dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette