Reka bentuk indah di dalam Dewan Cihannuma (Atlas Dunia) Presidency Library Turkiye yang menempatkan lebih 120 koleksi artikel , buku dan ilmiah termasuk koleksi kesusasteraan dan kesenian Turkiye menjadi kemegahan rakyat republik itu untuk pembangunan pendidikan negara. Gambar MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Walaupun gempa bumi dahsyat yang mengorbankan ribuan nyawa telah melanda Turki, tetapi keadaan itu tidak menjejaskan rombongan pelancongan dari Malaysia ke negara itu.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Paul Paw berkata, kawasan bencana di Turki adalah di kawasan tenggara manakala destinasi pelancongan negara itu tertumpu di barat.

Beliau berkata, penerbangan antara Malaysia dengan Turki juga berlepas seperti biasa dan membolehkan rombongan pelancongan bertolak ke negara itu.

“Setakat ini, semua berjalan seperti biasa dan kami juga tidak menerima permintaan untuk membatalkan tempahan,” katanya kepada China Press.

Difahamkan, tenggara Turki bukan destinasi pilihan rombongan pelancongan, walaupun tempat di situ mungkin dikunjungi oleh pengembara beg galas.

Disebabkan musim sejuk, pelancong yang mengunjungi tenggara Turki dianggarkan adalah sedikit.

Paul bagaimanapun berkata, pengusaha pelancongan sedang memantau keadaan di Turki bagi memastikan keselamatan pelanggan terjamin.

“Penerbangan berlepas seperti biasa pada masa ini dan bayaran penginapan telah dilangsaikan.

“Oleh itu rombongan akan bertolak mengikut jadual melainkan ada perubahan terkini mengenai keadaan gempa bumi di Turki,” katanya.

Ditanya sama ada pelanggan boleh meminta pembatalan tempahan dan pemulangan duit, Paul berkata, pemulangan hanya boleh dilakukan sekiranya berlaku pembatalan penerbangan.

“Pelanggan bagaimanapun boleh meminta untuk bertukar ke destinasi pelancongan yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette