LHDN BN
Bangunan LHDN di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Majikan diingatkan supaya menyedia dan menyerahkan penyata saraan EA (sektor swasta) dan EC (sektor kerajaan) pekerja bagi tahun 2022 kepada pekerja sebelum atau pada 28 Februari ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, tanggungjawab majikan berkenaan tertakluk dalam peruntukan subseksyen 83 (1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) supaya pekerja dapat mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan.

“Tanggungjawab majikan untuk menyerahkan penyata saraan EA dan EC ini setiap tahun mengikut tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada HLHDN dalam tempoh yang ditetapkan,” kata LHDN menerusi kenyataan.

Menurut LHDN, majikan boleh mencapai Nota Penerangan E 2022 melalui portal LHDN di www.hasil.gov.my atau pautan pantas menerusi https://www.hasil.gov.my/media/csthpo0v/nota_penerangan_e2022.pdf bagi tujuan rujukan.

Dalam masa yang sama, sebarang pertanyaan bagi mendapatkan maklumat lanjut boleh dikemukakan menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/public.-MalaysiaGazette