JASIN – Tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikesan sehingga mengakibatkan anggota komando Lans Koperal Edrin Baintim hilang ketika menjalani latihan selaman di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan, petang Selasa lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, hasil laporan keseluruhan kejadian mendapati, latihan itu mematuhi semua aspek keselamatan ditetapkan.
Menurutnya, ia termasuk semua peralatan yang digunakan anggota komando itu ketika kejadian berada dalam keadaan baik sebelum latihan.
“Kalau ikut laporan, dari segi peralatan SOP semua kita buat kerana sebelum kejadian itu kita telah melakukan penyelaman sedalam 60 kaki kemudian sehingga 120 kaki.
“Malah itu (kumpulan mangsa) bukan kumpulan pertama, sebaliknya adalah kumpulan kedua kerana kumpulan pertama dah selesai lakukan penyelaman itu, jadi maksudnya segala SOP itu semua kita telah ikut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi SAR Lans Koperal Edrin bersama Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) MejarJeneral Nubli Hashim.
Hadir sama Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Iskandar Ishak dan Pegawai Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli.
Mengulas lanjut, Adly berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagaimanapun tidak menafikan akan melakukan penilaian dan penambahbaikan dalam setiap kes yang mengakibatkan kejadian tidak diingini.
“Memang akan ada penilaian di peringkat dalaman untuk kita melihat apakah penambahbaikan yang boleh kita buat disamping kita juga melihat faktor-faktor proses menyelamat mangsa dapat kita lakukan dengan lebih baik.
“Kita tahu laut Selat Melaka ini walaupun cuacanya nampak tenang tapi arus deras yang berkemungkinan menyebabkan tragedi ini berlaku,” katanya.
Tambahnya, operasi SAR selepas akan turut menggunakan alat pengesan sonar bagi mengesan kedudukan mangsa yang hilang selain menggunakan tiga buah dron untuk mengesan mangsa di kawasan yang tidak dapat dilalui bot.
Ditanya adakah ATM akan menghentikan latihan selaman seumpama itu kepada semua anggota komando, Adly berkata, ia akan diteruskan kerana tiada pelanggaran SOP dikesan dalam latihan berkenaan.
Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan Lans Koperal Edrin yang bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor hilang pada jam 5.15 petang ketika sedang menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Turut bersama mangsa ketika kejadian adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang Melaka. – MalaysiaGazette